Thursday 1 October 2015

Pengalaman Hadapi Tragedi Mina


ALLAH Yang Maha Berkuasa dan Perancang atas segala-galanya. Jadual penerbangan pulang penulis pada 27 September 2015 yang lalu terpaksa ditangguhkan 4 jam sebelum berlepas apabila mendapat berita seorang rakyat Malaysia, iaitu Zulkifly Samad terlibat dalam kejadian rempuhan di Mina.

Sidang media yang diatur pada awalnya oleh Tabung Haji bagi merumuskan perjalanan jemaah haji setelah selesai semua manasik haji telah bertukar fokus. Bilik hotel penulis di Jeddah kemudiannya bertukar menjadi bilik operasi media bagi menyelaras segala maklumat dengan tepat sebelum disampaikan kepada masyarakat Malaysia.

Pada malam itu juga, penulis bergegas kembali ke Makkah untuk bersama-sama dengan isteri Allahyarham Zulkifly Samad di Rumah Mayat Muassim bagi tujuan proses pengecaman dan pengesahan waris, seterusnya membantu mempercepatkan proses pengurusan jenazah.

Sejujurnya penulis sendiri berasa sedih dan terkilan kerana makluman awal yang diperoleh daripada hasil semakan yang dibuat oleh pihak Tabung Haji telah mendapati tiada jemaah Haji Malaysia ang terlibat.

Ini berasaskan semakan melalui siar raya di semua khemah jemaah pada jam 12.30 tengah hari iaitu sejam selepas berita tragedi rempuhan diperoleh. Proses semakan ke atas semua khemah yang menempatkan semua jemaah haji Tabung Haji dan agensi-agensi swasta selesai sekitar jam 3 petang pada hari kejadian. Sepanjang semakan tersebut tiada sebarang aduan daripada waris mahupun rakan sekhemah berkaitan dengan sebarang kehilangan jemaah.

Pada sebelah malam jam 11, Suria Hanim Abdul Hamid, isteri kepada arwah Zulkifly Samad telah membuat laporan rasmi bahawa suaminya tidak pulang ke khemah. Dalam laporan tersebut, barulah isterinya mengakui dan menceritakan bahawa suaminya tidak bersama dengan jemaah Tabung Haji dari Muzdalifah kerana bercadang untuk berjalan kaki mengikut Sunnah Rasulullah ke Mina.

Panggilan terakhir Suria kepada suaminya telah dibuat pada jam 7.15 pagi, 10 Zulhijah. Dalam perbualan telefon tersebut, suaminya memaklumkan bahawa beliau telah selamat tiba di Mina dengan jemaah haji negara lain dari Muzdalifah.

Kelegaan tersebut rupanya hanyalah buat seketika apabila Suria mulai berasa tidak sedap hati apabila mengetahui akan berita kejadian rempuhan pada jam 1.30 petang. Peringkat awal beliau mula memaklumkan kepada sahabat Tabung Haji mengenainya pada sebelah petang.

Setelah menerima aduan tersebut, para petugas haji memulakan usaha mencari jemaah yang dikategorikan tersasar itu di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina. Untuk pengetahuan adalah lumrah setiap tahun ada sahaja jemaah yang tersasar. Malah terdapat 38 lagi laporan kehilangan sepanjang hari-hari melontar iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah di Mina.

Namun apabila masuk hari ketiga iaitu 13 Zulhijah didapati, hanya Zulkifly Samad masih hilang. Justeru petugas Tabung Haji mengambil keputusan untuk meninjau di Rumah Mayat Muassim yang kebetulan sudah mula dibuka kepada awam kira-kira 10 pagi hari sama. Sebagaimana kejadian kren tumbang 13 hari sebelumnya, rumah mayat ini mula memaparkan gambar-gambar semua mangsa yang terkorban di dinding.

Pada kira-kira 1.30 petang apabila disemak setiap gambar yang tertera, pasukan perubatan Tabung Haji berjaya menemui mangsa yang dalam keadaan sempurna, bahkan berwajah jernih bersama tag nama Zulkifly Samad pada lehernya.

Hanya pada sebelah malamnya waris arwah dibenarkan masuk untuk membuat pengecaman dan pengesahan.

Penulis dan isteri berserta pengurusan tertinggi Tabung Haji turut bersama Suria bagi memastikan segala urusan pengebumian jenazah dapat dipercepatkan memandangkan sudah tiga hari kejadian berlaku.

Alhamdulillah, penulis bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Saudi yang telah membantu mempercepatkan urusan pengebumian – dilakukan pada jam 2.50 pagi 28 September (waktu Saudi) di Perkuburan Syuhada Mu’aisim, tidak sampai lima jam selepas proses pengecaman oleh isteri arwah.

Teruja penulis melihat semangat kental yang ditunjukkan oleh isteri arwah walaupun dalam keadaan bersedih. Teringat kata-kata beliau kepada penulis, “Arwah seorang yang baik. Dia seorang yang begitu menyayangi Rasulullah dan selalu menceritakan kisah-kisah Rasulullah. Arwah benar-benar mahu mengerjakan haji mengikut sunnah Rasulullah SAW dengan berjalan dari Muzdalifah ke Mina, walaupun saya nasihati agar jangan berpisah daripada jemaah Tabung Haji”.

Sesungguhnya pengalaman menguruskan dua tragedi dalam musim haji kali ini benar-benar menguji penulis selaku Timbalan Menteri yang diamanahkan oleh Menteri Datuk Seri Jamil Khir untuk mengetuai Jemaah Haji Malaysia buat kali pertama tahun ini.

Sekalung penghargaan dan tahniah juga penulis ucapkan kepada pengurusan dan petugas-petugas Tabung Haji yang banyak membantu penulis semasa berada di tanah suci ini. Merekalah yang penulis istilahkan sebagai pahlawan yang tidak didendangkan. Moga ALLAH merahmati semuanya.

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
* Penulis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

0 comments :

Post a Comment