Thursday 15 October 2015

Muhyiddin Turut Meluluskan Undang-undang, Adakah Ianya Tidak Sah?


Apabila satu undang-undang yang telah diluluskan di Parlimen dipertikaikan, tentu selepas ini akan ada banyak undang-undang lain akan berdepan tindakan sama, dengan alasan kerajaan telah melakukan salah guna kuasa ataupun bertentangan dengan hak asasi masyarakat.

Ia pasti akan membuka jalan kepada kes-kes lain melalui akta yang diluluskan di dalam Parlimen. Keadaan akan menjadi lebih rumit apabila mereka yang menyokong akta tersebut turut mempertikaikan mengenainya.

Itu situasi yang berlaku ketika ini apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal mempertikaikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), sedangkan sebelum ini mereka yang menyokong kelulusan akta terbabit di Parlimen.

Akta tersebut juga sudah tentu dibincangkan di dalam Kabinet? Tidakkah kedua-duanya sepatutnya mengetahui lebih mendalam mengenai SOSMA?

Malah Muhyiddin merupakan Ketua Whip Barisan Nasional (BN) yang memastikan Ahli Parlimen BN mengundi menyokong SOSMA sebelum ini.

Apabila beliau berada di dalam kerajaan, Muhyiddin menyokong SOSMA namun kini selepas tiada lagi kuasa, beliau mula bersuara dengan alasan beliau menyokongnya adalah kerana SOSMA bertujuan menangani ancaman keganasan dan terrorisme.

Tetapi beliau mempertikaikan kenapa SOSMA digunakan untuk menahan bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.



Khairuddin dan Matthias didakwa di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara.

Timbul persoalan kenapa ketika SOSMA dibahaskan di Parlimen, Muhyiddin dan Shafie tidak membantahnya? Adakah ia hanya dilakukan selepas mereka digugurkan dari Kabinet? Bagaimana jika mereka masih kekal dalam Kabinet ketika ini? Adakah mereka akan bersuara?

Hakikatnya kata Peguam Negara, Tan Sri Mohammed Apandi Ali, SOSMA bukan untuk pengganas sahaja seperti yang difahami ramai sebaliknya ia merupakan undang-undang yang menyediakan langkah khas untuk memudahkan siasatan dan penyiasatan kesalahan keselamatan.

Manakala seksyen 124L kanun keseksaan merupakan kesalahan di bawah bab VI kanun keseksaan dan merupakan salah satu daripada enam kesalahan baru yang diperkenalkan dalam bab VI kanun keseksaan pada 2012 melalui Akta Kanun Keseksaan (pindaan) 2012. Oleh itu, ia adalah satu kesalahan keselamatan yang terpakai dalam SOSMA.

Jika Muhyiddin membantah penahanan Khairuddin dan Matthias, beliau boleh menunggu sehingga perbicaraan kes itu diadakan, tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di mana seseorang itu ditahan tanpa menjalani perbicaraan.

ISA lebih kejam dari SOSMA tetapi Muhyiddin tidak membangkitkan mengenainya.

Sepatutnya mereka yang mempertikaikan penahanan Khairuddin dan Matthias ini memberikan sepenuh kepercayaan kepada sistem perundangan negara tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Kita perlu meletakkan kepercayaan itu kepada mahkamah dan bagi pengkritik SOSMA, mereka hanya perlukan peguam yang `hebat’ untuk membantu Khairuddin dan Matthias.

0 comments :

Post a Comment