Friday 7 March 2014

Sedia Hadapi Kemarau

MUSLIM Indonesia mengerjakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan di Dumai, Riau semalam.

Kementerian Perhutanan dan kerajaan Riau meningkatkan jumlah anggota dan peralatan memadam kebakaran sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan menjelang kemuncak kemarau tidak lama lagi.
Menteri Perhutanan Indonesia, Zulkifli Hasan berkata, musim kemarau panjang dijangka bermula Jun ini dan berlanjutan sehingga September.
“Justeru semua pihak perlu lebih berhati-hati menangani jerebu yang semakin memburuk di Riau,” katanya semalam.
Zulkifli berkata, kebakaran hutan sedia ada perlu dielak daripada merebak dan Indonesia tidak dikritik mana-mana pihak lagi.
Tahun lalu, katanya, negara jiran menegur Indonesia kerana menyebabkan jerebu di tempat mereka, memaksa Presiden Indonesia meminta maaf secara terbuka.
“Situasi itu mesti dielak tahun ini atau kita akan dimalukan kerana meminta maaf pada dua tahun berturut-turut,” katanya. Tahun lalu isu jerebu mencetuskan perbalahan diplomatik antara Jakarta dan Singapura serta Kuala Lumpur. Sementara itu di Jambi, jerebu tebal memaksa banyak penerbangan terpaksa mendarat di lapangan terbang lain akibat jarak penglihatan yang buruk di Lapangan Terbang Sultan Thaha. Sementara itu Gabenor Riau, Annas Maamun menggesa Jakarta mengkaji semula peraturan mengenai tindak balas terhadap keadaan darurat. “Ketika ini kerajaan peringkat wilayah tidak boleh mengisytiharkan darurat sebelum separuh daripada daerah masing-masing bersetuju mengenainya,” katanya.

0 comments :

Post a Comment