Friday 16 January 2015

UTM pamer kehebatan prototaip UAV

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melangkah dalam merintis projek penyelidikan dan pembangunan sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) dengan melancarkan prototaip pesawat itu yang dikenali sebagai UTM-UAV Camar 1, di sini hari ini.

Peralatan pintar yang dihasilkan menerusi pembangunan strategi berfasa itu dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) dan sistem pemanduan automatik yang membolehkannya terbang pada altitud dan koordinat yang ditetapkan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Ir. Mohd. Azraai Kassim berkata, pesawat itu boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, antaranya mengutip data bagi tugas pemetaan dan kerja pemantauan yang tidak memerlukan tenaga manusia.

“Prototaip pesawat ini direka sendiri oleh Kumpulan Aeronautik UTM yang terdiri daripada lapan penuntut ijazah kedoktoran dengan kerjasama Unmanned System Technologies Sdn. Bhd. (UST) yang merupakan anak syarikat Composite Technology Research Malaysia (CTRM).

“Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dua tahun lalu merangkumi penyelidikan kejuruteraan aeronautik, aerodinamik, avioniks dan instrumentasi, struktur dan bahasa serta sistem dinamik dan kawalan pesawat,” katanya semasa menyaksikan demonstrasi penerbangan pesawat itu, di sini.

Mohd. Azraai berkata, UTM-UAV Camar 1 mempunyai rentang sayap sepanjang dua meter, berat maksimum kira-kira lima kilogram dan mampu terbang selama dua jam pada ketinggian 400 meter dalam lingkungan jarak 20 kilometer dan berkelajuan 18 meter per saat.

Menurutnya, pesawat berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh setahun setengah termasuk proses reka bentuk, analisis dan ujian.

“Kejayaan program ini hasil pembangunan teknologi dan kepakaran tempatan. Prototaip pesawat ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang usahasama dan perkongsian kepakaran dalam aspek aeroangkasa negara dan penerokaan jaringan antarabangsa,” katanya. -Utusan

0 comments :

Post a Comment