Monday 21 April 2014

Bila Isteri Digantung Tak Bertali, Suami Jiran Menjadi Penganti Sebagai ‘Suami’ dan ‘Bapa’


Sekadar gambar hiasan.

DIA mempunyai suami, hidup sendiri tapi tidak ditalak. Suaminya hilang tanpa berita. Lama… malah tak pernah muncul bertahun-tahun. Perbuatan suami itu mengundang derita kepadanya, lalu hadir seorang lelaki yang dahulunya hanya seorang tetangga.

Lelaki itu menghulurkan bantuan kewangan dan makanan, mencurahkan simpati dan memberikannya peluang mengadu resah.

Dari simpati bertukar sayang, dari sayang bertukar cinta. Dan gelora dua jiwa manusia biasa itu sudah tidak dapat ditahan lagi. Syaitan menggoda iman. Hangatnya asmara dan kasih sayang membuatkan mereka diulit noda.

Akhirnya, si tetangga kini bertindak menjadi pengganti suami. Di pandangan orang ramai dan anak sulungnya, tetangga itulah ‘suami’ dan ‘bapa’. Sedangkan hakikat sebenar, mereka tidak pernah menikah dan si wanita tidak pernah diceraikan suami sebenar.

Salah siapa? Feesha (bukan nama sebenar) membuka pekung di dada. Dia sahabat penulis ketika menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta di Kuantan beberapa tahun lalu. Kisah wanita digantung tidak bertali yang bersekedudukan dengan jiran sehingga melahirkan anak-anak luar nikah tetapi dibinkan dengan suami sebenar itu adalah kisah ibunya. Ibu yang amat disayanginya!

Kini Feesha tak tahan lagi. Puluhan tahun dia melihat ibu dan ‘bapa’ tetangganya itu diulit dosa dan noda. Masa berganti masa dan Feesha semakin dewasa untuk mengenal kesalahan dan perbuatan mungkar ibunya itu.

Feesha kasihan melihat adik-adik yang memanggil lelaki itu ayah sedangkan nama yang dibinkan dengan mereka itu adalah nama bapanya seorang! Bukan bapa mereka dan bukan nama lelaki yang berada dalam rumahnya itu! Mereka adalah adik tiri Feesha, jika ibunya benar-benar menikah dengan lelaki itu, tetapi mereka bukan adik tiri, mereka anak luar nikah! Ibunya menipu pendaftaran kelahiran… Air mata Feesa melurut deras.

Salah siapa? Kenapa wanita sering dijadikan mangsa? Apa pula yang perlu dilakukan oleh kaum wanita di luar sana jika perkara ini berlaku kepada anda semua. Tidak guna mencari kesalahan, kerana hanya apabila anda menyedari diri ditinggalkan, barulah hidup terasa gelap.

Barulah tahu tinggi rendahnya cubaan dunia. Ibu Feesha kini diulit rasa berdosa dan bersalah yang amat tinggi. Dia terjerat dengan permainan si suami. Kenapa suami tegar menggantung status isterinya? Dendam kerana si isteri pernah meminta cerai? sengaja tidak mahu isterinya itu dipinang dan berkahwin dengan lelaki lain? Atau si suami telah berpoligami tetapi tidak adil dan membiarkan isteri pertama terkontang kanting? Cetek pengetahuan agama?

Lelaki sebegini sesungguhnya lupa dengan firman ALLAH yang bermaksud:

“… dan peliharalah isteri kamu dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan cara yang baik juga…” (Surah al-Baqarah ayat 229).

Wanita yang melalui dilema seperti ini menjadi keharusan memohon cerai dari mahkamah secara taklik atau fasakh. Usah biar diri teraniaya dan seterusnya mengulit dosa kerana jatuh cinta dan menjalin hubungan dengan lelaki lain, berdosa besar!-SH.

0 comments :

Post a Comment