Monday 9 January 2017

Langkah Guan Eng Terdesak Tipu Rakyat Malaysia?


"Berdasarkan kepada laporan Ketua Audit Negara, Pulau Pinang akan berada dalam defisit dan bukannya lebihan bajet jika tidak kerana penjualan tanah negeri"

1. Minggu lepas, saya terkejut bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng menafikan bahawa jumlah lebihan terkumpul sebanyak RM574 juta oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang sejak tahun 2008 adalah disebabkan oleh penjualan tanah negeri. Saya telah menyediakan pelbagai perangkaan untuk membuktikan perkara itu dan telah meminta beliau untuk mengajar saya matematik istimewanya.

2. YAB Lim nampaknya telah begitu terasa dengan ini dan mengeluarkan kenyataan akhbar untuk menyerang saya dengan mengatakan bahawa saya tidak faham akaun dan memberikan pelbagai angka yang mengelirukan untuk mewajarkan serangannya.

3. Kenyataan beliau, yang penuh dengan penghinaan, nampak seperti satu serangan yang paling peribadi sejak bermulanya kerjaya politik YAB Lim. Ini membuktikan bahawa kenyataan saya adalah tepat dan telah mendedahkan pembohongan beliau.

4. Meskipun menerima serangan secara peribadi itu, saya gembira kerana YAB Lim telah mengesahkan beberapa perkara yang telah saya katakan yang membuktikan bahawa propaganda DAP yang selalu diguna semula itu adalah pembohongan secara terang-terangan.

5. Perkara pertama adalah bahawa YAB Lim telah mengesahkan bahawa perbelanjaan operasi kerajaan Pulau Pinang telah meningkat 3 kali ganda sejak tahun 2008 hingga 2015. Peningkatan yang besar ini akan berterusan kerana perbelanjaan operasi di bawah bajet Pulau Pinang untuk 2017 dijangkakan menjadi 5 kali ganda daripada perbelanjaan pada tahun 2008.

6. YAB Lim berkata bahawa saya sepatutnya memuji beliau kerana masih mempunyai lebihan walaupun peningkatan 3 kali ganda dalam perbelanjaan. Beliau berkata ini adalah hasil daripada prinsip CAT kerajaan DAP Pulau Pinang yang telah membawa kepada "kawalan kos yang dicapai melalui tender terbuka yang berdaya saing yang memberikan kita harga yang terbaik".

Walau bagaimanapun, saya tidak faham apa yang dimaksudkannya kerana kawalan kos dalam dunia sebenar bermakna bahawa perbelanjaan operasi akan berkurangan dan bukannya meningkat sebanyak 300%.

7. Perkara kedua ialah YAB Lim akhirnya mengakui bahawa "BN Pulau Pinang menjual lebih banyak tanah tetapi mendapat kurang daripada DAP" yang sering digunakan itu adalah mengelirukan. YAB Lim bersetuju bahawa kebanyakkan "tanah" yang BN jual dalam propaganda mereka ini sebenarnya adalah hak penambakan tanah - dan bukannya tanah sebenar.

8. Walau bagaimanapun, YAB Lim terus mengelirukan dengan mengatakan bahawa BN Pulau Pinang telah menjual hak penambakan ini hanya sebanyak RM1 psf seperti dalam kes projek penambakan Tanjung Tokong.

Beliau nampaknya telah lupa bahawa hak RM1 psf ini juga datang dengan syarat bahawa sebaik sahaja dituntut semula, pemaju perlu menyerahkan 10% daripada tanah yang ditambak secara percuma kepada Kerajaan Negeri.

9. Ini adalah tanah yang sama yang kerajaan Pulau Pinang gunakan untuk membiayai projek Terowong Pulau Pinang RM6.34 bilion mereka yang kontroversi itu dan laporannya yang sangat mahal yang berharga RM305 juta itu.

Ini membuktikan bahawa dakwaan bahawa BN Pulau Pinang menjual tanah atau hak tanah dengan harga RM1 psf itu sememangnya adalah tidak benar kerana tanah yang diserahkan sebagai sebahagian daripada perjanjian jualan kami adalah jelas lebih tinggi daripada itu.

Media perlu bertanya tentang kebenaran perkara ini kepada YAB Lim.

10. Perkara ketiga yang YAB Lim lakukan adalah bahawa beliau telah mengakui bahawa saya adalah Pengerusi SPAN yang baru yang bermula pada 1 Disember 2016 walaupun beliau tanpa sebab telah menyalahkan saya untuk pelbagai masalah air pada masa lalu sebelum saya mula bertugas.

Disebabkan jawatan terkini saya inilah menyebabkan saya boleh mengesahkan propaganda DAP yang banyak kali digunakan iaitu "DAP Pulau Pinang telah mengurangkan hutang negeri sebanyak 95% kerana CAT".

11. Apa yang sebenarnya berlaku ialah SPAN dan Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih RM655 juta hutang kerajaan yang sedia ada dan menukarkannya kepada pajakan tahunan sebanyak RM14.56 juta yang mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membayar kepada Kerajaan Persekutuan selama 45 tahun, yang mana kembali kepada jumlah yang sama.

12. Oleh itu, daripada pinjaman, ia ditukarkan ke dalam bentuk pajakan. Sebagai balasan, kerajaan negeri Pulau Pinang mencagarkan pelbagai aset air dan tanah negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

13. Dalam kenyataannya minggu lepas, YAB Lim mendakwa bahawa pendapatan yang digunakan untuk membayar 3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan itu datang dari cukai tanah dan yuran tanah yang lain.

14. Laporan Ketua Audit Negara jelas menunjukkan bahawa pendapatan cukai tanah kekal statik. Ia hanya meningkat daripada RM93 juta pada tahun 2008 kepada RM104 juta pada tahun 2015 - jelas tidak mencukupi untuk membayar peningkatan besar dalam perbelanjaan.

15. Apa yang telah menunjukkan satu pertumbuhan yang besar adalah item yang dipanggil "Premium Tanah - Pemberian Hak Milik" yang telah meningkat setiap tahun daripada RM19 juta pada tahun 2008 kepada RM324 juta pada tahun 2015.

16. Ketua Audit Negara juga telah menjelaskan bahawa item ini adalah hasil daripada jualan tanah. Antara tahun 2008 hingga 2015, ia berjumlah RM1.22 bilion - jelas lebih tinggi daripada lebihan negeri terkumpul iaitu RM574 juta.

Angka-angka ini tidak termasuk aset-aset lain yang dijual oleh PDC Pulau Pinang dan tanah yang telah diniagakan seperti tanah RM6.34 bilion untuk Terowong Pulau Pinang dan tanah untuk membayar projek Pelan Induk Pulau Pinang sebanyak RM46 bilion di mana kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah berkata bahawa mereka akan meminjam berbilion-bilion yang jumlahnya tidak ditentukan dari bank-bank.

17. Dalam item perakaunan yang berasingan, kerajaan Pulau Pinang juga telah menerima bayaran untuk jualan tanah daripada PDC sebanyak RM173.5 juta di antara tahun 2013 dan 2015 - bermakna jumlah hasil daripada penjualan tanah negeri kini akan berjumlah kira-kira RM1.4 bilion.

18. Pemeriksaan kami ke atas akaun itu juga menunjukkan bahawa antara tahun 2010 dan 2014, Kerajaan Pulau Pinang telah menutup pelbagai akaun pemegang amanah negeri seperti "Akaun Perumahan Awam Kos Rendah" dan "Pinjaman Projek Bekalan Air Luar Bandar" dan memindahkan bakinya kepada dana gabungan Negeri dan mengiktirafnya sebagai pendapatan negeri - yang mana membantu untuk menampakkan peningkatan lebihan negeri ini.

Jumlah pemindahan ini adalah sekurang-kurangnya sebanyak RM240.19 juta.

19. Dengan mengabaikan kesan penjualan tanah negeri dan helah perakaunan yang berkaitan dengan pemindahan akaun pemegang amanah untuk diiktiraf sebagai hasil negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan berada dalam defisit bajet yang semakin teruk untuk setiap tahun sejak tahun 2010.

Daripada lebihan terkumpul sebanyak RM574 juta dari tahun 2008 hingga tahun 2015, ia akan mengumpulkan defisit sebanyak RM1.057 bilion.

20. Beberapa bulan yang lalu, saya telah mencabar YAB Lim dan Institut Pulau Pinang untuk mengesahkan 12 perkara tentang kemerosotan ekonomi dan kewangan Pulau Pinang atau saman saya jika saya salah.

Antara lain, ia termasuklah penemuan bahawa Pulau Pinang mengalami pertumbuhan yang terendah dalam gaji median antara tahun 2010 hingga 2015, pertumbuhan ke-4 terendah dalam pendapatan isi rumah median antara tahun 2009 hingga tahun 2014 dan bahawa Pulau Pinang mempunyai pertumbuhan KDNK per kapita ke-4 paling teruk bagi tempoh 2008 hingga 2015 - dengan negeri-negeri lain telah mengatasi Pulau Pinang.

Malangnya, cabaran saya tidak disahut oleh kedua-dua YAB Lim dan Institut Pulau Pinang yang mengeluarkan kenyataan yang mengatakan ia enggan untuk menjawab saya.

21. Saya telah menegaskan sebelum itu bahawa menjual aset negeri untuk membiayai perbelanjaan pentadbiran tahunan yang melambung tinggi bukanlah sesuatu yang bijak dan sama dengan menjual kepentingan negeri - satu trend yang berterusan dengan jualan saham negeri baru-baru ini dalam syarikat Pulau Jerejak untuk RM156 juta dan satu tender lain untuk menjual tanah daripada jualan kepada EcoWorld Bhd yang dibatalkan.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Pulau Pinang terus bergantung kepada propaganda palsu untuk memberi gambaran palsu berkenaan prestasinya untuk mengelirukan rakyat Pulau Pinang.

Kenyataan YAB Lim yang ditujukan kepada saya minggu lepas sekali lagi membuktikan perkara ini.


Liang Teck Meng.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

9 Januari 2017.

0 comments :

Post a Comment