Friday 19 August 2016

Pengajaran Buat Zaharin

Gambar Hiasan

Zaharin merengus keseorangan. Ini tempat terakhir yang mahu dikunjunginya di muka bumi.
Jabatan Kecemasan hospital kerajaan ini memang sentiasa sesak nak mampus kerana perkhidmatan yang lembab.

Zaharin tidak ada pilihan lain. Yang sakit adalah ibu mertuanya. Ibu mertuanya tidak mempunyai insurans. Mahu bawa ke hospital swasta Zaharin tidak mampu. Mahu tidak mahu, hospital kerajaan yang cabuk ini jugalah yang terpaksa dia hadap.

Segalanya terjadi selepas ibu mertuanya tiba2 pengsan di meja makan. Hingga kini tidak sedarkan diri. Ibu mertuanya memang mengidap darah tinggi dan degil tidak mahu makan ubat. Ibu mertuanya hanya amal ubat homeopati yang dipercayai zaman berzaman. "Ubat di hospital adalah ubat kimia dan racun, jangan diamalkan," teringat Zaharin akan kata2 duktur homeopati yang merawat ibunya. Duktur tersebut memang amat terkenal kerana merupakan duktur perubatan pada asalnya sebelum menjual produk homeopati. Malangnya bila ibunya pengsan, duktur homeopati enggan merawatnya dan menyuruh dibawa ke hospital. Suspek kurang gula dalam darah katanya. Zaharin kecewa. Takkan tiada ubat homeopati yang boleh membangunkan ibunya semula. Selama ni dok kata jangan percaya ubat spital, kini suruh juga pergi ke sana.

Zaharin bertambah bengang dengan hospital kerajaan. Parking menjadi satu masalah yang tak pernah diselesaikan. Apa salah bina saja parking bawah tanah bertingkat macam di Pavillion Bukit Bintang tu? Lalu Zaharin pun berzikir memaki hamun pemerintah dalam hati.

Zaharin lebih geram apabila dia cuba parking keretanya, ada pengawal keselamatan yang datang menghalang.
Zaharin hanya menjerit pada pengawal tersebut, " Ko nak makan penumbuk? Mak mentua aku masuk kecemasan tu. Ko nak saman kereta aku ko samanlah! Bodoh punya guard!" Guard tersebut terkedu mendengar kata2 Zaharin. Dia sedar siapa dirinya. Nak lawan Zaharin pun dia sudah tua berbanding Zaharin yang muda dan sado.

Seorang dressar menegur Zaharin dengan berkata, "Encik tak boleh park di situ."
Zaharin terus masuk ke jabatan kecemasan tanpa menghiraukan dressar tersebut. Ibu mertua Zaharin sudah dimasukkan ke zon kritikal untuk rawatan. "Bangang betul depa ni semua, tak boleh nak faham yang mak mertua aku sakit kritikal," Zaharin berbisik di dalam hatinya yang sedang marak menahan marah.

Zaharin melihat jam di tangannya. Sudah hampir 2 jam ibunya dimasukkan ke zon kritikal. Zaharin telah mendapat berita buruk bahawa ibu mertuanya telah koma kerana mengalami pendarahan di dalam otak. Dia menelefon duktur homeopati kepercayaannya zaman berzaman tapi tidak berangkat. Zaharin bertambah resah.

Semuanya serba tak kena. Hospital beri perkhidmatan lembab. Parking sukar diperolehi. Ruangan menunggu sesak dengan manusia dan bising. Setiap kali Zaharin hendak masuk melihat ibu mertuanya, akan ada guard yang datang meminta Zaharin menunggu di luar kerana doktor sedang melakukan rawatan.

Hati Zaharin semakin membara ibarat bom jangka yang menunggu masa saja untuk meletop. Doktor2 kerajaan ni semua lembab. Konon mengutamakan kes kritikal tapi dah 2 jam, masih tiada apa2 tindakan dan keputusan rawatan. Doktor muda yang memberi penerangan pada Zaharin memaklumkan bahawa rawatan awal dan CT scan sudah dilakukan namun hanya menunggu doktor pakar saja untuk memeriksa pesakit dan membuat keputusan.

Zaharin kini sudah tidak boleh menahan sabar. Kesabarannya ada had dan kini had itu sudah dilangkaui. Zaharin telah update di facebooknya akan betapa teruk dan kejinya perkhidmatan di hospital kerajaan tersebut. Sekejap sahaja status tersebut telah mendapat beratus likes dan shares. Rata2 rakyat bersetuju dengan Zaharin dan menceritakan pula kisah2 'ngeri' sejak zaman nenek moyang mereka berurusan di hospital. Zaharin puas hati. Dia tidak berseorangan. Dia mempunyai sokongan rakyat hakim negara.

Zaharin tidak tahan lagi. Dia terus meluru masuk ke dalam zon resusitasi dan menjerit sekuat hatinya. "Apasal lembab nak mampus korang ni? Berapa lama lagi nak tunggu? Takkan nak tunggu sampai mak saya ni meninggal baru nak operate?"

Semua orang di zon resusitasi terdiam. Hanya bunyi beep mesen2 infusion pump dan ventilator saja yang berbunyi. Doktor2 dan staf kelihatan terkejut dan sedikit gentar.

Doktor muda kembali cuba menerangkan kepada Zaharin bahawa mereka masih menunggu pakar untuk memeriksa dan membuat keputusan.

Zaharin bertambah bengis dan hampir mahu mencarut apabila secara tiba2 seorang lelaki meluru masuk dan terus bergegas merawat ibu mertua Zaharin. Zaharin mendapat tahu kemudian bahawa itulah doktor pakar yang dinanti2kan sejak hampir 40 minit yang lepas.

Doktor pakar akhirnya tiba berjumpa Zaharin dan apa lagi, Zaharin terus menghamburkan kata2 hikmatnya kepada doktor tersebut. Merah telinga doktor pakar tersebut menahan bisa panahan kata2 tajam dari mulut azab Zaharin.

Doktor pakar tersebut meminta maaf kepada Zaharin. Dia memberikan alasan bahawa dia lambat kerana tidak dapat parking keretanya.
Zaharin bertambah berang dan makiannya kini turut mencakupi pihak hospital, kerajaan hingga ke Perdana Menteri.

Akhirnya Doktor Pakar tersebut meminta diri untuk terus bekerja. Puas hati Zaharin. Segala isi hatinya telah dimuntahkan. Biar padan muka semua yang terlibat. Padan muka kena maki free2.

Notification telefon Zaharin semakin bingit. Hati Zaharin berbunga2. Ni mesti dah viral habis status FB Zaharin yang memaki hamun hospital tadi.

Zaharin pun buka facebooknya.
Ada 25 notification. Statusnya sudah mendapat 300 likes dalam tempoh 3 jam.
Dalam banyak2 notification, dia ternampak namanya ditagging oleh sahabatnya pada sebuah status. Zaharin menekan dan membacanya.

Sahabatnya menulis di ruangan komen dengan kata2 begini, "Bro, ini bukan kereta kau ke?!!!"

Zaharin membaca status tersebut.
Status tersebut berbunyi, "Lahanat manalah parking kat tempat aku. Pasal mamat seekor ni, habis aku kena maki hamun dengan waris pesakit sebab lambat sampai kerana jenuh cari parking." Zaharin melihat gambar profile empunya status...sah ia adalah doktor pakar yang Zaharin maki hamun tadi.

Dan Zaharin melihat gambar yang diupload oleh doktor tersebut di statusnya...tertera gambar kereta Zaharin siap dengan nombor plate.

....tunggu Bahagian 2.

Dr Abdul Rahman bin Abdul Kadir

0 comments :

Post a Comment